Create successful ePaper yourself
Turn your PDF publications into a flip-book with our unique Google optimized e-Paper software.
Pendahuluan
Buku Teks Asas Sains Komputer Tingkatan 1 ini ditulis berdasarkan Dokumen Standard
Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Asas Sains Komputer Tingkatan 1. Kurikulum Standard
Sekolah Menengah (KSSM) memberi fokus kepada penguasaan ilmu pengetahuan, kemahiran
dan nilai yang sesuai dengan tahap kebolehan murid berdasarkan Standard Kandungan,
Standard Pembelajaran dan Standard Prestasi yang disusun dalam DSKP. Pernyataan
Standard Kandungan ini merupakan pernyataan spesifik tentang perkara yang patut diketahui
oleh murid dan boleh dilakukan dalam suatu tempoh persekolahan merangkumi aspek
pengetahuan, kemahiran dan nilai. Standard Pembelajaran pula merupakan suatu penetapan
kriteria atau indikator kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur secara lebih
spesifik bagi setiap standard kandungan.
Buku ini memberi penekanan kepada strategi pengajaran dan pembelajaran dalam
Asas Sains Komputer. Pelbagai aktiviti dirancang berpandukan pembelajaran berasaskan
inkuiri yang dapat mencetuskan pemikiran kritis dan kreatif murid. Pembelajaran kendiri
adalah diutamakan dalam buku ini supaya murid dapat mentaksir pembelajaran sendiri.
Strategi ini menggalakkan inisiatif murid dan menjadikan murid lebih bertanggungjawab
terhadap pembelajaran.
Elemen Merentas Kurikulum (EMK) telah diterapkan dalam proses pengajaran dan
pembelajaran Asas Sains Komputer yang mana penggunaan bahasa pengantar yang betul
diberikan keutamaan. Semangat patriotik dan nilai-nilai murni juga dapat dipupuk. Ciri-ciri
Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) juga turut diterapkan dalam buku ini.
Elemen Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) turut diberi penekanan semasa penyediaan
buku ini. Konsep ini bertujuan menerapkan ciri-ciri berfikir secara kreatif, kritis, logik
dan metakognitif agar murid mampu memberikan penjelasan, membuat keputusan,
menyelesaikan masalah, menginovasi, mencipta dan menunjukkan hasil akhir mengikut
konteks yang diperlukan.
Dalam usaha meningkatkan dan membudayakan kemahiran berfikir ke arah menghasilkan
murid yang berfikiran kritis dan kreatif serta inovatif, buku ini telah menggunakan empat
daripada lapan Peta Pemikiran dalam penerangan. Peta Pemikiran yang digunakan termasuk
peta bulatan, peta buih, peta dakap dan peta alir.
Pendahuluan
v