17.12.2019 Views

kerja tangan K

litzin kerja tangan isu K buatan Malaysia mokamochaink.com

litzin kerja tangan isu K
buatan Malaysia
mokamochaink.com

SHOW MORE
SHOW LESS

You also want an ePaper? Increase the reach of your titles

YUMPU automatically turns print PDFs into web optimized ePapers that Google loves.



kerja tangan

K

Rorschach Ink


Kerja Tangan adalah ruang katalis di mana penulis-penulis

dapat menerbitkan penulisan mereka hasil editorial rakus

dalam format ringkas tidak melebihi 600 patah perkataan

meski ada juga yang melebihi had tersebut tetapi dengan

syarat utama iaitu ia mesti bagus atau paling kurang:

luarbiasa. Rata-rata teks di dalam litzin ini samada ia

diterbitkan penuh dengan suntingan atau bagi sebilangan

teks yang belum cukup bagus, saya akan pilih bahagian

terbaik (boleh jadi dalam bentuk perenggan, stanza atau

baris ayat) dan cuba bikin teks tersebut agar ia boleh werk

bersendirian tanpa bantuan klise lain.

Kontributor dialu-alukan (esei, cerpen, puisi etsetera) dan

litzin ini selain diterbitkan secara berkala dan gratis via

laman sosial digital, ia juga diterbit dan dijual dalam bentuk

cetakan fizikal dalam usaha untuk menampung kerja-kerja

editorial dan kelangsungan litzin ini.

Maklum balas dan karya boleh diemel ke:

litzin.kerjatangan@gmail.com


kandungan

Interviu Adinata Gus

oleh Ridhwan Saidi

3 Sajak

oleh Ismail Partogi

28 Partikel Cerita

oleh hackeleh

Cerita Dari Bulan

oleh Muharos

Pakaian Membentuk Peribadi

oleh Nazim Masnawi



I n t e r v i u

Adinata Gus

Ridhwan Saidi

Saya pertama kali bertemu Adinata selepas forum

tentang puisi di KABO, Bangi. Sebelum itu kerap

juga saya terjerumus bergosip tentangnya

bersama teman-teman, kebiasaannya dari olahan

kisah-kisah di laman sosial. Saya juga mengikuti

tangkapan instagram sajak-sajaknya yang tersisip

di dalam surat khabar. Ia ada nuansa kerinduan

seingat saya. Selain itu beliau juga telah

menghasilkan sebuah kumpulan puisi berjudul

Aku Namakan Kau Angin, yang menurutnya tidak

mahu dan tidak pernah dibaca. Berikut

merupakan interviu kami yang dijalankan di

laman sosial:

RIDHWAN

Untuk permulaan, boleh cerita sikit tentang bagaimana

boleh mula mendekati puisi? atau buku umumnya? Ada

cerita waktu kecil atau sekolah?

7


ADINATA

Ketika umur saya masih di bawah 12 tahun, di kampung

saya ini di Lenggong, Perak ada satu keluarga (Puan

Salmah) yang boleh dikatakan sebagai pencinta buku juga.

Mereka mempunyai sebuah perpustakaan peribadi yang

sangat menarik berbanding perpustakaan awam. Rumah

mereka ini terletak berdekatan dengan sekolah agama

waktu petang. Bersesuaian dengan umur pada ketika itu,

saya hanya mengunjungi perpustakaan mereka untuk baca

dan pinjam komik seperti Doraemon dan Detektif Conan.

Saya dan kawan-kawan akan pergi ketika waktu rehat, jadi

boleh baca komik sambil makan keropok lekor. Oh kadangkadang

saya pinjam Mastika sebab nak baca cerita hantu

pada sebelah malam selepas ulangkaji pelajaran.

Kiranya, Puan Salmah inilah orang pertama yang buat

saya kenal apa itu perpustakaan.

Pada waktu malam di rumah kampung, tak banyak

perkara yang boleh dilakukan. Kakak saya pernah menulis

cerpen untuk menyertai pertandingan tertentu. Ketika dia

cuba menyelesaikan kerjanya, saya selalu menempel di

sisinya dan bagi pendapat tentang cerpennya. Adakala, dia

marah dan suruh saya diam kerana idea mengarut. Saya tak

tertarik sangat pun untuk menulis ketika itu, yang buat saya

takjub adalah bagaimana sebuah mesin taip itu berfungsi.

Bunyinya sangat garang dan tegas. Dalam hati saya ketika

itu sangat kagum, pada masa yang sama rasa nak ketawa

pun ada. Kakak saya tulis cerpen fasal anyam ketupat pun

boleh menang! haha

Saya hanya sempat menikmati perpustakaan Puan

Salmah sehingga umur 12 tahun sebelum masuk ke sekolah

berasrama penuh. Hidup berjauhan dengan keluarga

selalunya akan buat kita jadi sedikit sentimental dan

melankolik.

Saya sangat takut memori tentang kehidupan di

kampung akan hilang. Bermula pada saat itu, saya mula

beri perhatian khusus dalam matapelajaran Bahasa Melayu

karangan. Jika ada tugasan yang memerlukan saya

mengarang tentang kehidupan, saya nampak itu sebagai

satu peluang untuk melepaskan apa yang terbuku di hati.

8


Hanya dengan cara itu saya dapat berkongsi tentang

kampung saya di dalam sebuah karangan. Memang

sentimental!

Pernah sekali, ketika keputusan peperiksaan akhir

tahun bagi subjek Bahasa Melayu diumumkan, guru subjek

saya mengumumkan esei saya sebagai terbaik dengan

markah 99% dan dijadikan sebagai contoh kepada pelajarpelajar

daripada tingkatan yang lain. Bayangkan betapa

sepenuh hati menulis karangan walhal untuk peperiksaan

saja pun! haha

Maka bermula dari saat itu, saya beralih pula ke

perpustakaan sekolah untuk mencari pengalaman intim

yang baru.

Tiga judul ini saya masih ingat jelas ketika

membacanya secara curi-curi di dalam kelas Add Math.

Rona Bosphurus oleh Zaid Akhtar, Mencari Locus Standi

oleh Nisah Haron dan Merdekakan Cinta Ratna oleh Sri

Rahayu Yusop. Ketiga-tiga judul ini saya pilih sebab, ada

tanda pemenang hadiah HSKU di hujungnya. Saya

menganggap HSKU pada masa itu seperti Man Booker Prize

sekarang. Dan saya kata dalam hati, “Power gila penulis

Malaysia.” Hahaha

Begitulah serba sedikit bagaimana saya berkenalan

dengan objek bernama buku. Saya masih buta puisi ketika

itu. Tetapi bila difikirkan semula semua pengalaman itu

adalah puisi sebenarnya.

RIDHWAN

Sebut tentang sentimental dan melankolik itu perasaan

yang saya dapat bila baca puisi saudara. Boleh cerita sikit

proses menghasilkan buku Aku Namakan Kau Angin? Juga

perihal sajak-sajak yang dihantar ke akhbar. Adakah sajaksajak

ini sudah difikirkan untuk berkumpul di dalam satu

buku atau ia boleh berdiri satu-satu?

ADINATA

Sebetulnya, saya mula menulis puisi sekitar tahun 2010

selepas tamat peringkat asasi universiti. Ketika penerbitan

alternatif masih baru dan segar. Buku Aku Namakan Kau

9


Angin, jujur saya katakan adalah pengalaman eskapism

sahaja. Ia tidak lebih daripada itu. Mungkin ada satu atau

dua buah puisi sahaja yang saya cipta sebagai refleksi apa

yang pernah terjadi kepada diri sendiri. Saya sangat takut

pada ketika itu untuk berdiri atas nama puisi-puisi cinta

sahaja. Kerana hal patah hati ini, biasa disebut orang

sebagai klise dan tak menguntungkan apa-apa pun kepada

dunia puisi. Tetapi, saya selalu tekankan kepada diri sendiri,

apa yang jujur daripada hati itulah yang akan tumpah ke

atas kertas. Fikir punya fikir, pada penghujung 2015 barulah

saya mengumpulkan semua sekali puisi cinta (kononnya)

dan dihantar kepada pihak penerbit. Ia diterbitkan pada

bulan Mac 2016!

Berbanding puisi-puisi yang tersiar di akhbar, ini saya

jadikan sebagai paltform untuk menguji kualiti dan

penerimaan khalayak. Setakat ini, saya akan menghantar

puisi-puisi ke akhbar jika puisi-puisi tersebut memenuhi 3

perkara yang saya jadikan sebagai syarat peribadi. Pertama,

ia adalah pengalaman yang asli. Kedua, ia harus jujur

tentang perasaan ketika mengalaminya dan ketiga, ia harus

bersifat ingin menyampaikan sesuatu kepada pembaca,

tetapi dalam bentuk yang segar.

Ringkasnya, saya lebih suka puisi-puisi ini berdiri

sendiri di dalam akhbar berbanding menjadikan ia sebuah

buku. Berbeza dengan Aku Namakan Kau Angin, buku

tersebut saya kategorikan sebagai ‘spiritual-journey’ ketika

pertama kali mengetuk pintu puisi.

RIDHWAN

Ada gua purba di Lenggong bukan? Anda ada ke sana?

ADINATA

Satu hal yang menarik jika kau berasal dari Lenggong, kau

akan dapat soalan macam ini, haha!

Saya tak pernah sekalipun menjejak kaki ke muzium

arkeologi di Lenggong atau mana-mana gua purba.

Mungkin tak dekat sangat di hati. Tetapi saya selalu ke

tebing sungai Kg. Beng di mana filem Hollywood Anna and

The King pernah shooting ketika tahun 1999. Banyak tempat

10


saya boleh bawa. Kalau mahu datang melawat jangan

segan untuk beritahu. Haha!

RIDHWAN

Baik! Mengapa puisi? Apa yang buat bentuk ini menarik

minat anda?

ADINATA

Satu perkara yang buat saya tersedar kenapa puisi? adalah

kenaifan. Ketika saya mengarang novel — saya akan

menjadi orang lain. Tetapi dengan puisi saya akan selalu

menjadi diri saya sendiri. Hanya dengan menulis puisi,

satu-satunya cara untuk saya mengenali keperibadian diri.

Dan dengan puisi juga saya mengenal keperibadian orang

lain pula. Tetapi yang terpenting, dengan menulis puisi alam

bisa berkata-kata!

RIDHWAN

Boleh kongsi sedikit proses? Anda ada rutin tertentu atau

lebih bebas, misalnya tulis tangan atau terus taip di fon

atau laptop atau tidak kisah. Puisi-puisi ini adakah ia

mengalir terus siap, atau diperhalusi dari semasa ke

semasa dalam memenuhi 3 syarat peribadi tadi?

ADINATA

Ketika idea datang ke dalam kepala, saya gemar

menghafalnya terlebih dahulu, saya akan membayangkan

bagaimana bentuk keseluruhannya jika ditaip ke dalam

komputer. Jika melepasi waktu untuk tidur saya akan terus

salin ke dalam komputer kerana takut terlupa. Tetapi jika

sebaliknya, saya hanya akan biarkan kata-kata bermain di

dalam kepala dengan sendiri.

Setelah dizahirkan dalam bentuk salinan A4, saya

akan melakukan proses pemurnian terlebih dahulu. Maka

akan ada banyak conteng-conteng dan nota kaki. Ya, betul

kata saudara. Puisi tersebut hanya akan dikongsikan jika

menepati syarat peribadi yang saya sebutkan awal tadi.

11


RIDHWAN

Anda ada waktu atau mood tertentu dalam melakukan

pemurnian tersebut? Misalnya malam atau tempat yang

sunyi lebih baik, atau di mana saja, kafe-kafe dengan bunyi

orang tidak jadi masalah? indoor atau outdoor atau di

dalam perjalanan atau...?

ADINATA

Saya pernah cuba semua metod yang saudara sebutkan,

ternyata yang paling berkesan adalah ketika waktu tengah

malam dan sunyi. Bunyinya agak tipikal. Tetapi itu sajalah

alternatif yang ada dan saya yakin keberkesannya. Jika saya

keluar ke sesuatu tempat sama ada indoor atau outdoor,

saya berkeputusan waktu sebegitu hanya dimanfaatkan

untuk meneliti dan memahami.

Saya masih pada tahap ingin menajamkan deria

pengamatan dan pemerhatian. Kemudian, barulah saya

pulang dan merancang bagaimana untuk menulisnya.

Waktu peribadi hanya ketika saya dan puisi, selebihnya

adalah milik orang lain dan deria saya.

RIDHWAN

Ada pengarang terdahulu, atau semasa, atau malah

(potensi) masa depan yang anda rasakan penting/kuat

pengaruhnya dalam fasa formatif anda atau malah

sekarang ini? Ada penulis yang ada masih ulang baca?

ADINATA

Saya seorang pembaca puisi dan novel tegar. Jadi ada

masanya citarasa saya selalu berubah-ubah. Tetapi buat

masa ini saya pasti semua orang pun mencintai puisi-puisi

Karl Agan. Hanya ada satu nama setakat ini. Pengkarya

perempuan pula saya suka untuk menyebut Rasyidah

Othman.

Suka juga untuk saya memetik nama-nama seperti

Latiff Mohidin dan Suhaimi Hj. Muhammad tetapi cukup

sekadar rujukan. Saya lebih suka melihat apa yang kita ada

sekarang dan fokus dengan tenaga yang kita miliki. Yang

lama akan terus pergi, yang baru harus diberi perhatian.

12


Dalam hal ini, saya lebih bersikap optimis dan buang jauh

sentimental terhadap karya-karya lepas.

Saya sangat menyukai Albert Camus, Jean-Paul

Sartre, David Foster Wallace, Kazuo Ishiguro, Roberto

Bolano, Rachel Kushner dan Alejandra Pizarnik. Selalunya,

pengkarya yang menulis tentang kematian, kewujudan dan

kegelapan saya akan baca karyanya walau apa sekalipun.

Untuk pengarang lokal, saya cukup beri perhatian

kepada, saudara Ridhwan sendiri, Wan Nor Azriq, Johan

Radzi, Hafiz Hamzah, Sufian Abas, Ainunl Muaiyanah, Faisal

Mat Zawi dan Syafiq Ghazali. Ada beberapa nama lagi yang

punya potensi menulis sangat tinggi tapi malu-malu untuk

keluar seperti Nazir Harith Fadzilah, Jef Hadi dan Fariq.

Mereka ini akan mewarnai sastera kita lagi 20-30 tahun.

Saya jadi sangat tidak sabar untuk menunggu waktu itu

akan tiba. Semoga Tuhan kurniakan umur yang panjang!

RIDHWAN

Apa pendapat anda tentang Malaysia umumnya? atau

khususnya puisi, penulisan dan sastera? Apa perkara

pertama yang terlintas kalau disebut Malaysia?

ADINATA

Dramatik!

Walau di tempat mana pun, saya akur akan ada

penerimaan dan penentangan. Tetapi orang kita cenderung

untuk berdiskusi/bergosip perkara-perkara yang tak

penting. Mungkin saya boleh panggil sastera pasar. Kita

perlukan kritikan yang lebih tajam dan simpan gosip-gosip

murah ini dalam almari sendiri saja. Kita dahagakan karya

bukan drama TV3 pukul 7 petang. Ouch!

RIDHWAN

Kritikan tajam perlukan elemen kritikal dan tajamnya pula

dari segi artikulasi hujah. Hujah-hujah di parlimen Malaysia

sendiri bila direnungi majoritinya tidak tajam. Tanpa gosip

dunia akan jadi senyap?

13


ADINATA

Haha, betul juga itu, tanpa gosip dunia bertambah bosan

sudah tentunya. Nak hapuskan pun tak boleh. Tapi satu hal

yang pasti jika ada peluang untuk gosip berlaku, saya tak

akan beri ruang kepada diri sendiri untuk jatuh ke dalam

kancah tersebut. Alamak, jadi makin serius pula.

RIDHWAN

Adakah gosip ini benda jahat di mana pelakunya akan

masuk neraka?

ADINATA

Jika tanya pada Nietzsche, dia kata di syurga tak ada orang

yang menarik pun di situ. Gosip adalah benda menarik, jadi

kita tahu di mana kita akan jumpa pelakunya.

Tetapi jika mengikut Dante, jalan ke syurga akan

bermula daripada neraka juga. Bahaya juga saya punya

statement ini. Haha.

RIDHWAN

Baik, ada apa-apa lagi yang mahu ditambah sebelum sesi

ini tamat?

ADINATA

Apa sekalipun, saya tetap bangga dan berasa mewah

perasaan kerana terlingkup sama menggauli sastera di

Malaysia. Moga-moga di waktu tua kelak, kita masih rajin

dengan kerja karang-mengarang, dan saya teruja untuk

melihat bagaimana generasi ketika itu berdiskusi tentang

generasi kita.

RIDHWAN

Adakah ini satu pesan, nasihat atau amanat?

ADINATA

Ia lebih kepada harapan, harapan yang menggunung, saya

harap pembaca pun ada harapan kecil seperti saya.

14


RIDHWAN

Saya nampak ia lebih berbentuk kerisauan.

ADINATA

Walau seteruk mana layanan yang kita beri kepada sastera

sendiri, walau seburuk mana karya yang kita beri kepada

sastera sendiri, walau sekecil apa pun sumbangan yang kita

beri kepada sastera sendiri, walau kecewa teruk sekalipun

saya memandang sastera sendiri, secara peribadi, saya

masih seorang yang optimis.

Ke sudut mana pun kita cuba lari, kita tahu segala

yang terjalin atas muka bumi ini melekat pada satu roda

yang sama. Saya anggap kekecewaan kecil ini sebagai garis

halus supaya kita dapat membezakan dengan kejayaan

yang besar.

Jika tak ada karya yang buruk, bagaimana kita nak

tahu satu karya lagi baik? Keseimbangan. Senang cerita,

optimis.

Jikalau kalian risau ia teruk maka hasilkan dengan

lebih baik.

15


mbombo

Ismail Partogi

suatu ketika dahulu dunia didiami

kegelapan, air dan mbombo

suatu hari, mbombo sakit perut

lalu memuntahkan matahari

dan matahari mengeringkan air

lalu tanah muncul untuk dijejak

mbombo masih sakit perut

memuntahkan binatang dan manusia

dan begitulah kisah kewujudan

kita di atas muka bumi ini, meski

jika matahari diluah lewat

tentu kita lemas di dalam kegelapan

16


28 Partikel Cerita

hackeleh

1. Sebuah novel menangis

membaca dirinya sendiri.

2. Iblis dan Jibril telah diarahkan

menyiasat soal seorang gadis

yang disyaki telah menjual

lidahnya kepada makhluk asing.

3. 9,876 penghuni neraka telah

dipindahkan ke syurga kerana

mengundi PAS untuk pilihanraya

kecil ketika di dunia.

17


4. Seekor kucing maut kerana

telefon yang ia duduki meletup.

5. Sependakwa mati kerana terlebih

dos habbatus sawda.

6. Semanuskrip cerpen murtad

selepas dikatakan melanggar

akidah.

7. Sekumpulan burung-burung

mengadakan mesyuarat untuk

terbang ke Bulan.

8. Seorang warga syurga telah

membina sebuah taman tema

berkonsepkan neraka.

9. Seekor setan yang amnesia

mengaku dirinya seekor malaikat

maut.

18


10. Bulan bertanya kepada saya di

mana Matahari? Saya kata

tunggu esok. Esoknya Matahari

pula bertanya di mana Bulan?

11. Seratus tujuh puluh tiga orang

maut ditujah bulu tangkis pukulan

Lee Chong Wei yang keluar dari

skrin televisyen.

12.Belasan piring terbang menerangi

Kuala Lumpur yang keputusan

bekalan elektrik.

13.Sekaki mabuk mendirikan

sepanggung wayang di syurga

yang cuma menayangkan filemfilem

kehidupan para agamawan

yang dicampak ke neraka.

14. Matahari mula berkaca mata

hitam kerana tidak tahan silau.

19


15.Ratusan ekor lipas hadir ke

Rumah Pena untuk uji bakat

melakonkan watak Gregor

Samsa.

16.“Saya nak Dinner Plate Set C, air

Mountain Jews dan Cheezy

Wedges dua set.” Lalu pekerja

McD itu keluar dan mula beratur

di KFC sebelah.

17. Seluruh pemimpin dunia

bersepakat untuk memansuhkan

hari Jumaat supaya tiada hari

kiamat.

18.Serokok gulung menghisap

dirinya sendiri.

19. Sebuah lif terbabas ketika

berlumba dengan lif sebelah.

20


20.Peluang datang bergolek kepada

saya dan saya menyepaknya

seperti Faiz Subri.

21. Semalam kami terselamat dari

hari Kiamat kerana Israfil telah

menghilangkan sangkakalanya.

Matahari kembali terbit dari Timur

hari ini.

22.Sajak-sajak The Faiz Ibrahim

mula digunakan PDRM sebagai

alat penyeksaan.

23.Sajak Tak Tun dideklamasikan

menggantikan talkin ketika

pengebumian Mahathir

Mohamad.

24.Seorang moralis menyaman

Tuhan kerana menghadirkan

banjir dalam keindahan hujan.

21


25.Seekor ikan mati kerana

kekeringan idea.

26.Selelaki miskin maut dihempap

tanggungjawab.

27. Sebuah kereta memberi signal ke

kiri lalu belok ke kanan telah

dilanggar kereta bersignal kanan

tetapi menyelekoh ke kiri.

28.Tujuh ratus iPhone 7 murtad dari

iOS lalu memeluk Android.

22


omelet

Ismail Partogi

malam tadi you delete twit

sepertimana siang delete

malam dan besok pagi twit

semalam kejut dirimu saji omelet

23


Cerita Dari Bulan

Muharos

Kucingku Noneng sedang bermain dengan planet Pluto. Dia

kuis-kuis planet tersebut di atas angkasa dengan hati yang

gembira. Aku dengar suara hati dia, “Ya, ini dia El Noneng

sedang menggelecek bola dari kaki Messi dan merembat

gol!”

Aku sedang berkelah di atas bulan, kau bayangkan

macam dalam filem Hollywood; bentang kain corak kotakkotak

merah putih, ada bakul rotan, ada roti panjang

Perancis, ada buah anggur, ada sandwich dan wain. Tapi aku

tak minum wain, aku bawak air coke ginseng jenama Radix.

Mai secewen!

Sebenarnya ini bukan kali pertama aku berkelah di

sini. Pertama kali ke sini, aku bawa seorang gadis bersama.

Bella namanya. Bella suka bermain biola. Kami berkelah di

sini, dia bawa biola dan mainkan melodi di atas bulan yang

kontang ini.

Hari ini aku datang sini sorang-sorang bersama

seekor kucing. Bella mana? Dulu masa kami ke sini, turun

sebuah kapal angkasa dan keluar seekor Predator sambil

bawa tengkorak manusia lalu melamar Bella. Aku terpaku

melihat aksesori spike di tubuh Predator itu dan tak sedar

Bella terima lamaran Predator dengan titisan air mata. Biola

Bella terlepas daripada genggamannya.

Hari ini aku sendiri di sini. Di atas bulan, berkelah

dengan Noneng si kucing kuning, dan biola Bella. Tanpa

melodi yang menemani aku di bulan sunyi November ini.

“Dan El Noneng sekali lagi menjaringkan gol! Oh tapi

dibatalkan sebab El Noneng di kedudukan offside”.

24


ocd

Ismail Partogi

selerak akar

pohon-pohon

beringin di

ladang fauconnier

akan

kusistem

dan kulipat simpan

dalam atur

modular

kabinet ikea

25


Pakaian

Membentuk

Peribadi

Nazim Masnawi

Aku berlalu dari ruang utama kopitiam untuk menjauhkan

diri daripada pelayan yang asyik bertanyakan pesanan

biarpun sudah lama aku sampaikan.

Aku berlabuh punggung di sudut yang lebih gelap,

meregangkan kaki dan mengeluh kebosanan.

Pintu salun ditolak lalu muncul seorang wanita yang

jasmaninya serba resah. Dia mendekatkan muka ke tingkap,

membuang pandangan ke seberang jalan.

“Masya-Allah!” dia bertempik seraya membetulkan

tali bra di trapezius. Kepala digeleng-geleng, neon dari luar

menyimbah setiap kerut yang tergaris pada wajahnya.

Dia merengus lalu bergegas ke arahku. Langkahnya

hampir tersadung pada stilettoku yang terjuak dari kaki

meja. Namun dia seakan tidak peduli.

“Cik,” dia membirai kata, sambil mengambil tempat di

sebuah kerusi. “Saya mintak maaf sesangat.”

26


“Diterima, tapi awak macam nak mintak lebih dari

sekadar maaf je,” balasku.

“Saya nak mintak masa cik sikit sekali. Boleh?” Aku

cuba menolak namun lekas-lekas aku sedar, yang

berlangsung ini adalah sebuah perbualan sehala.

“Gini.” Tangannya mula beraksi bagi memantapkan

gebang. “Apa yang saya nak cerita ni memang tak masuk

akal langsung.”

Kepalanya menganjur ke hadapan. Cuba mengecam

wajahku dalam suasana malap yang jelas tidak dibantu

kacau di hatinya. Kemudian dia bersandar. Menghela nafas

panjang. Dia tampak amat penat untuk menimbal dengan

saksama. Barang kali sudah beberapa hari tidak ketemu

lelap.

“Saya tak sangka, dalam dunia konon canggih, konon

moden ni masih ada lagi benda yang tak boleh dieksplen.

Awak mungkin rasa saya tak siuman. Awak mungkin betul,

mungkin jugak salah. Siapa tau? Itulah poin yang saya nak

cakap kat sini: Siapa. Tau?”

“Kakak saya.” Nadanya tiba-tiba bertukar sayu. “Dah

tak macam dulu lagi. Dia... dah tak serupa manusia.”

“Habis dah?” soalku apabila dia termangu seketika.

“Semua start dalam tahun lepas. Dia jalankan bisnes

pakaian muslimah di Instagram. Tapi tak sampai enam

bulan, dia dah bukak kedai.”

“Sayangnya,” Dia tersedu-sedan. “Tu semua dah tak

ada lagi.”

Dia berbisik sendiri, “Sayangnya.”

Tisu dicapai dari meja. Hidung dihembus. Tubuhku

terkedik, membayangkan kepekatan cecair yang terpancur

keluar.

“Semua orang cari jenama dia,” dia mengelamun.

“Artis-artis. Orang kenamaan. Orang biasa lagilah, sampai

berebut kat kedai. Ada something pasal pakaian

muslimahnya yang tak ada kat jenama lain. X-factor tu.

Saya tak tau apa benda. Tapi dia memang geniuslah dalam

membuatnya. Mungkin ada kaitan dengan taglinenya kot:

‘Pakaian Membentuk Peribadi.’ Dengan memakainya, orang

seolah-olah menemui identiti.”

27


Wanita ini kembali meleret matanya kepadaku

sebelum menghembuskan hidungnya sekali lagi.

“Lepas tu?” soalku.

“Kegeniusan dia tulah,” sambungnya. “Saya tumpang

banggalah masa awal-awal. Sebab semua berpunca bila

saya hadiahkan Farida – nama dia Farida – sehelai tudung

ni sebab katanya nak berhijrah, tak nak free hair lagi. Entah

macam mana dia jadi semacam dia punya ‘thinking cap.’

Tapi sekarang tak lagilah.”

Aku menghela nafas.

“Tapi tak cukup dengan tudung, dia cari pakaian

muslimah yang sesuai jugak. Lama-lama dia tak puas hati,

dia nak cari yang terbaik. Itu yang akhirnya dia buat sendiri.

Dari hujung rambut sampai hujung kaki – tudung, jubah,

sarung tangan, stoking, kasut.

“Saya teringat satu masa tu: Farida dan suami dia

Wan serta saya dan suami saya – kami bercuti kat pulau.

Cuaca panas, jadi saya tukarlah pakaian yang sesuai sikit.”

“Awak rasa dia tukar pakaian ke tak? Of course tak!

Pakaian mencerminkan peribadi, katanya. Tepat kat muka

saya dia bagi tagline jenama dia.”

“Kami jalan-jalan sampai ke satu teluk ni; air biru,

ombak memukau, cuaca panas. Wan dan suami saya terusterus

terjun ke dalam laut. Saya pun join sekali. Tapi Farida?

Hah!”

“Hah!” Aku separa mengajuk.

“Memang taklah!” bentaknya. “Saya dengan tak

berkasut, tak berstoking, seluar tarik sampai bawah lutut,

lengan gulung sampai siku; terapung-apung macam budak

kecik. Dan kat atas pasir, sambil tersenyum simpul, Farida

masih anggun dengan pakaiannya. Puas kami panggil.

Jomlah, Farida, mandi sekali.”

“Eh, mana boleh. Sekali lencun baju ni, habislah –

hilanglah persona Farida tu. Ini buatkan Wan jadi panas

bukan takat kat luar, tapi kat hati sekali. Most of the time,

kata Wan, dia tak tau sama ada isteri dia ni masih

perempuan ke ataupun almari baju.

“Tapi dah Farida macam tu, kan?” dia mengeluh.

“Nak buat macam mana?”

28


“Habis dah?” aku mencelah.

“Taaak.” Nada suaranya menaik. Terketar. Akibat

ketakutan rasanya.

“Sekarang kita baru nak masuk cerita yang betulbetul

seram,” tingkahnya. “Kan tadi saya cakap dia cerewet

betul dalam bab pakaian? Even baju dalam dia pun dia buat

sendiri.”

Aku mengangguk-angguk, entah dia perasan entah

tidak.

“Suatu hari tu,” dia menyambung obrol. Bisiknya

keras diteran seraya memandang kiri kanan. “Ada orang

saja buat lawak, ambik tudung dia waktu dia tengah solat di

kedai.”

“Farida buat-buat macam tak boleh fikir. Satu ayat

pun takleh nak susun. Menggagau. Sambil menuding ke

luar, dia dok sebut, tudung, tudung. Saya pun hantar dia

balik.”

“Wan dan saya selimutkan dia tidur. Dan waktu saya

nak mengundur diri, tiba-tiba terdengar bunyik berdentum.

Berlarilah kami ke bilik.

“Farida mengerekot di atas lantai. Kami angkat dia.

Kaki dia kejang. Kenapa ni, kami tanya? Kasut, stoking,

katanya. Kami dudukkan dia di katil. Dia angkat kasut dia,

tapi terlepas macam tu je.”

“Sarung, tangan, dia kata lagi. Kami perhati je.

Sarung tangan! Dia jerit. Wan tak tahu nak react macam

mana. Dia jumpa sepasang dan campak je atas riba Farida.

Farida pakai pelan-pelan dengan penuh perit. Kemudian,

dia tunduk dan sarungkan stoking.

“Dia bangkit dan pusing keliling bilik semacam nak

mencuba kaki baru.

“Tudung, katanya sebelum pergi ke sebuah laci. Dia

lilit tudung kat kepala dia, lepas tu—jangan tak percaya.

“Dia terus mengamuk, siapa pandai-pandai bawak

aku balik rumah ni? Aku ada banyak kerja, tau tak? Banyak.

Dan siapa yang curi tudung aku tu memang nak kena

dengan aku! Sekelip mata, berdesup dia ke kedai.

“Awak… awak percaya cerita ni?” soalnya.

29


“Kenapa tak?” jawabku. Malas. Terasa diri sendiri

hendak ketemu lelap.

“Kalau gitu,” balasnya. “Awak boleh fikir sendirilah

apa jadi. Sebelum balik, Wan bagitahu saya: Itu ke sebabnya

dia sekarang macam takde perasaan bila kat rumah? Aku

taulah dia belum bersedia nak ada anak, tapi tak sangka

pulak ada kaitan dengan bab tutup kepala kat bahagian atas

dan bukannya tutup kepala kat bahagian bawah.

“Sebagai adik, saya malu.”

Mulutnya terkacip, kekesalan bergulung sama dengan

lidah.

“Lepas tu keadaan makin teruk.” Dia menyambung

tuturan. “Tanpa tudung, Farida tak boleh fikir. Tanpa kasut,

Farida tak boleh jalan. Tanpa sarung tangan, jari jemarinya

tak boleh gerak. Masa El Nino melanda pun dia pakai jubah

tebal. Doktor mengalah. Ada pakar psikiatri terus ambik cuti

lepas jumpa dia.”

“Cepatkan sikit ending boleh tak?” Aku menoleh ke

arah jam. “Saya nak kena gerak dah ni.”

“Okey, okey, dah nak habis dah.” Dia menenangkan.

“Keadaannya bertambah teruk secara peribadi sampai

terkesan kat bisnesnya. Dia siap ambil pembantu untuk

pakaikannya baju. Wan punyalah tak tahan sampai pindah

keluar. Kakak saya hilang segalanya.

“Kemudian, berlaku insiden pada satu pagi ni…”

Peluh sejuk memecah dari dahinya.

“Saya datang rumah dia, saja jenguk. Pintu kondo dia

terkuak luas. Bergegas saya masuk. Satu rumah dah jadi

macam makam.

“Saya panggil pembantu dia. Tak berjawab. Saya

masuk bilik.

“Farida terbujur kaku macam mayat, mengomel

sendiri. Sepantas kilat saya ambik tudung dan litup

kepalanya. Mana pembantu kau? Sergah saya. Mana Wan?

“Dia pandang je saya dengan bibir terkumat-kamit.

Farida, kenapa ni? Soal saya.

“Pakaian aku, sambutnya.

“Pakaian apa? Saya bertanya. Kau merepek apa ni?

30


“Pakaian aku, dia membisik, pergi ke kedai pagi tadi

dengan sendiri.”

“Saya ingat dia dah gila ke apa.”

“Jubah crepe aku, suaranya separuh teriak. Yang aku

pakai semalam tu. Pembantu aku menjerit sampai terjaga

aku. Dia berdiri menghadap almari dan aku pun tolehlah.

Ya, Allah!”

“Tegak kat depan cermin, baju dalam aku semua

tersarung sendiri. Baju dalam. Seluar dalam. Kain dalam

tertarik sampai bentukkan susuk tubuh. Jubah dipakai.

Stoking dan kasut tersemat kemas di tempat sepatutnya.

Lengan baju memanjang dan tudung yang tergantung pun

dicapai, dililit seolah-olah ruang kosong di udara tu ada

kepala. Lepas tu, kepala tu sedikit mengangguk sikit ke

arahku.

“Pakaian membentuk peribadi, Farida, tutur satu

suara lalu diikuti dengan hilai tawa. Baju tu terus pergi.

Pembantu aku pun sama – tapi larilah. Wan entah ke mana.”

“Farida habiskan cerita sebelum saya buka

tudungnya supaya dia pengsan. Saya call ambulans.”

Wanita ini mendekatkan dirinya pada aku.

“Benda ni baru jadi minggu lepas.” jelasnya.

“Menggigil tangan saya bila fikir.”

“Habis dah?” Aku tanya lagi.

“Lebih kuranglah,” balasnya. “Ada orang bagitahu

Farida makin tak bermaya. Dia masih kat hospital. Saya

sendiri pun tak sanggup tengok dia. Terlantar di katil,

dengan tudung senget-benget, gerutu sorang-sorang. Dia

dah tak boleh cakap, tak kisahlah pakaikan dia apa pun.”

Dia mengusap wajahnya seakan cuba membuang

kaget yang tidak terbendung.

“Lagi teruk,” tambahnya, tersedu. “Ada orang kata

yang Wan…”

Segumpal air liur cuba ditelannya.

“…sedang menjalinkan hubungan dengan pakaian tu.

Dia bagitahu semua orang yang baju tak bertubuh tu jauh

lagi menawam dari Farida sendiri.”

“Serius?” soalku.

31


“Serius,” balasnya. Gesit. “Wan ada kat kedai

seberang jalan. Dari tadi dia kat situ.”

Lamunannya kembali bertaut.

Aku berkacak dari duduk. Meregangkan tubuh. Kami

saling bertukar pandangan sebelum dia terus rebah ke

lantai. Pengsan.

Seperti dari awal tadi, aku tidak mengambil pusing.

Langsung. Aku melangkah keluar dari kopitiam lalu

mendapatkan Wan. Kami berlalu pergi bersama-sama.

32



Sebarang maklumbalas boleh hubungi:

litzin.kerjatangan@gmail.com

Teks & foto setiap karya © kontributor/penulis

Guest editor dan susunan: Nurul Aizam

Desain, sub-editor & ilustrasi oleh

Ridhwan Saidi © 2018

Dicetak dan dijilid di Malaysia

oleh Rorschach Ink.



Hooray! Your file is uploaded and ready to be published.

Saved successfully!

Ooh no, something went wrong!